SEREMBAN – Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kereta dipandu seorang warga emas berusia 64 tahun dalam kejadian di simpang tiga, Jalan AST 6, dekat sini malam tadi.
Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 8.25 malam itu menyebabkan mangsa, Muhamad Azman Abdul Aziz, 30, mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, ketika kejadian, mangsa menaiki motosikal Yamaha Y15ZR dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Taman AST menuju ke arah bandar Seremban.
“Apabila tiba di tempat kejadian, datang kereta jenis Hyundai Atos dari arah bertentangan yang dipandu warga emas yang sedang membelok namun hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan mangsa serta melanggar mangsa di bahagian hadapan.
“Akibat kemalangan, mangsa mengalami kecederaaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala pemandu kereta pula tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-K!ONLINE