SHAH ALAM – Dua lelaki Indonesia termasuk seorang daripadanya yang mengancam membunuh warga Acheh ditahan dalam dua serbuan berasingan bermula kelmarin.
Penangkapan kedua-dua suspek berusia 30 dan 31 tahun itu dilakukan pukul 10 malam Selasa lalu dan 5.30 petang semalam di sekitar Tanjung Sepat, Kuala Langat dan Klang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, tangkapan dilakukan selepas polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima beberapa kandungan video menerusi aplikasi WhatApps pukul 3.30 petang pada Selasa lalu.
Katanya, video itu memaparkan seorang lelaki telah membunuh beberapa orang lelaki Indonesia berbangsa Acheh dan telah minum darah orang yang dibunuhnya.
Sehari kemudian, sebuah video tular menunjukkan suspek itu telah dipukul beberapa orang lelaki yang marah atas kenyataan dibuat lelaki itu yang dikatakan berlaku di Taman Selat Damai Pendamaran, Klang.
“Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor telah melancarkan gerakan mengesan kesemua suspek yang terlibat.
“Kita kemudiannya berjaya menahan dua lelaki iaitu yang mahu membunuh warga Acheh dan merusuh dengan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan diri sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah,permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dilakukan di Mahkamah Klang pagi ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 504 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. -K!ONLINE