KUANTAN – Buat julung kali pada tahun ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang akan turut menggunakan dron bagi melakukan pemantauan kejadian kebakaran hutan di negeri ini.
Pengarah JBPM negeri, Ir. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, selain pemantauan melibatkan anggota bomba, penggunaan dron berteknologi tinggi akan dilakukan sebagai langkah efektif mengesan kejadian kebakaran.
“Dengan keadaan hutan yang luas penggunaan dron akan turut digunakan pada kali ini bagi melakukan pengesanan kawasan yang terbakar seterusnya mengelakkan daripada kebakaran terus merebak.
“Selain itu rondaan awal melibatkan anggota akan terus dilakukan ke kawasan-kawasan dikenalpasti seperti di sekitar Jalan Pekan-Kuantan, Sungai Miang di Pekan, di Rompin dan sebagainya,”katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JBPM Pahang di sini, hari ini.
Menurutnya pada masa ini terdapat enam dron pemantau milik JBPM yang mampu melakukan pemantauan berkesan termasuklah mengambil gambar dan membaca suhu di kawasan terbabit.
Dalam pada itu, Wan Mohammad Zaidi berkata, berdasarkan statistik, jumlah kebakaran terbuka di negeri ini dalam tempoh tiga tahun daripada 2018 hingga 2020 ialah sebanyak 3,737 kes.
Beliau memberitahu, daerah yang paling tinggi merekodkan kebakaran terbuka dalam tempoh tersebut ialah Kuantan sebanyak 1,766 kes diikuti Pekan (643 kes) dan Temerloh sebanyak 334 kes.
“Antara punca kebakaran hutan yang dikenal pasti adalah pembakaran dilakukan oleh individu yang membersihkan selain kelalaian manusia seperti membuang puntung rokok yang masih bernyala.
“Selain itu sekiranya cuaca terlalu panas juga kebakaran hutan boleh tercetus sendiri terutama di kawasan tanah gambut,”katanya.
Sementara itu katanya, pihak bomba akan terus menggiatkan kolaborasi dengan agensi terbabit seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perhutanan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Katanya, dalam berhadapan cuaca panas juga pihak bomba telah melakukan persediaan logistik yang rapi dan mencukupi dalam menangani kemungkinan kejadian kebakaran terbuka di seluruh negeri.-K!ONLINE