fbpx

Jangan dengar khabar angin – Norza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD Norza menghantar surat untuk mengesahkan minat mereka kepada SEAGF ber­kenaan penganjuran Sukan SEA yang kali terakhir di Malaysia pada tahun 2017.

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) berharap Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) bertenang meskipun timbul khabar angin bahawa badan induk itu berkeras memaksa semua atlet yang bertan­ding pada Sukan SEA Hanoi wajib berusia bawah 23 tahun (B-23).

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selepas ­mengakui tiada sebarang keputusan dibuat lagi kerana mesyuarat masih belum bermula.

Kelmarin, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail mendakwa MOM membuat keputusan drastik apabila hanya menghantar atlet B-23 ke Hanoi sekali gus menyifatkan keputusan yang dilakukan MOM itu sebagai terburu-buru serta merosakkan perancangan persatuan sukan.

“Pertama sekali, apa yang saya boleh katakan, PSM membuat kenyataan berdasarkan khabar angin kerana esok (hari ini) baru kita melakukan mesyuarat.

“Mesyuarat belum diadakan lagi tetapi PSM sudah membuat kenyataan lebih awal. Mesyuarat yang akan kita adakan nanti akan diwakili oleh MOM sendiri, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (MSN) dan juga wakil bebas iaitu Datuk Sieh Kok Chi dan juga Datuk Wira Mazlan Ahmad,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Norza juga mengakui, perbincangan mengenai penghantaran atlet muda ke Sukan SEA telah dibincangkan pada tahun lalu dan ia masih dalam proses perbincangan.

“Pada Sukan SEA lalu kita sudah membincangkan mengenai penghantaran atlet muda ke temasya itu dan kita juga sudah berjumpa dengan semua persatuan sukan untuk meminta pendapat. Perbincangan itu terutama mengenai perancangan dan pembangunan atlet.

“Saya pelik kenapa PSM membuat kenyataan seperti ini dan dilakukan secara tiba-tiba. Saya bukan kecewa tetapi PSM tidak perlu buat sebegini kerana beliau juga boleh hubungi saya atau Pengarah MSN iaitu Datuk Ahmad Shapawi Ismail untuk meminta penjelasan lanjut,” jelas Norza.

PSM bimbang jika MOM berkeras menghantar skuad B-23, ia bakal menjejaskan potensi mereka pada temasya sukan dwitahunan itu dan menuntut MOM membenarkan PSM meletakkan skuad campuran iaitu 50 peratus pemain senior dan 50 peratus junior.

Selain itu, PSM juga menuntut agar MOM tidak menyalahgunakan kuasa mereka dan harus mengadakan bengkel untuk mendengar keluhan PSK sebelum membuat keputusan akhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI