fbpx

TFC II sedia tunjuk taring pada Liga Premier musim ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BADRUL AFZAN mahu menjadikan aksi pramusim tiga penjuru bersama UiTM FC dan Perak FC untuk mendapatkan keserasian pemain dan bukannya memburu kemenangan.

Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

PERSIAPAN singkat kurang tiga minggu bukan halangan buat pasukan Liga Premier, Terengganu FC II (TFC II) untuk mengasah ‘taring’ menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga M) 5 Mac ini.

Pengendali TFC II, Badrul Afzan Razali berkata, situasi itu akan dilalui semua pasukan Liga M dan ia merupakan cabaran bagi menghadapi musim 2021.

Beliau berkata, aksi pemanas badan di Shah Alam pada Jumaat ini bakal dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkemaskan lagi skuad TFC II bagi memburu sekurang-kurangnya kedudukan lima pasukan terbaik Liga Premier.

“Kita akan ambil bahagian dalam perlawanan tiga penjuru bersama UiTM FC dan Perak FC pada 19 sehingga 23 Februari ini.

“Bukan kemenangan jadi sasaran TFC II, sebaliknya lebih kepada untuk mendapatkan ke­serasian antara pemain tempatan dan tiga tonggak import,” katanya di Kuala Terengganu semalam.

Katanya, penyerang utama TFC II, Jordan Mintah bagaimanapun tidak dapat turut serta dalam aksi pemanas badan gara-gara terpaksa berehat sekurang-kurangnya seminggu ekoran kecederaan buku lali.

Jelas beliau, selepas aksi tiga penjuru tersebut, TFC II tidak mempunyai perlawanan persahabatan lain selain berlatih bersama skuad ‘abang’, TFC.

“Walaupun hanya mempunyai tiga pemain import, ia tidak menjejaskan fokus kami kerana majoriti pemain dikekalkan adalah muka lama.

“Ada beberapa pemain muda wajar diberi perhatian antaranya penyerang muda negara, Muslihuddin ‘Atiq Mat Zaid selain pemain import, Masaki Watanabe,” katanya.

Mengulas lanjut, Badrul Afzan menyifatkan Sarawak United, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Kelantan United sebagai antara pencabar utama Liga Premier pada musim ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI