MANCHESTER – Bintang muda Manchester United, Mason Greenwood menandatangani kontrak baharu bersama pasukan itu sekali gus menyaksikan dia kekal di Old Trafford hingga Jun 2025.
Pemain berusia 19 tahun itu kini menjadi pemain skuad utama di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer selepas membuat debut pada 2019 dan kini sudah melakukan 82 penampilan bersama skuad United.
Greenwood dianggap sebagai antara penyerang muda yang bersinar dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan kerja keras yang dipamerkan membolehkannya mendapat kontrak baharu tersebut.
“Apabila anda menyertai kelab sejak berusia tujuh tahun, impian anda hanya satu iaitu mahu bermain bersama pasukan utama. Saya bekerja keras untuk berada pada tahap ini dan sudah melalui dua musim yang sangat menakjubkan.
“Masih banyak yang saya mahu kecapi selepas ini dan tahu di sini adalah tempat untuk saya terus mempamerkan bakat yang ada.
“Sokongan yang diberikan oleh pengurus, kakitangan kelab dan para pemain hebat di sini membolehkan belajar banyak perkara dan saya tahu saya sedang meningkat setiap hari.
“Akan hadir banyak lagi perkara yang baik untuk saya dan kelab ini pada masa depan. Saya bersedia untuk terus bekerja keras setiap hari untuk memberikan kejayaan kepada pasukan ini.
“Saya mahu membalas jasa dan sokongan yang telah diberikan selama ini dan menunjukkan bahawa saya memiliki kemampuan untuk berbuat demikian,” katanya. – AGENSI