fbpx

Anak Malaysia pengulas Piala Dunia Kelab eFIFA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bukan hanya Hafiz dan Matthews, namun Aiman (kiri) atau dikenali sebagai Sekaiichi turut terpilih menggalas tanggungjawab sebagai wartawan zon pada kejohanan Piala Dunia Kelab eFIFA 24 Februari ini.

ARENA e-Sukan tanah air terus mencipta sejarah baharu apabila dua rakyat Malaysia terpilih menjadi pengulas rasmi bagi kejohanan Piala Dunia Kelab eFIFA yang akan dianjurkan secara penstriman langsung dari 24 hingga 28 Februari ini.

Dua pengulas itu ialah Muhammad Hafiz Sudin atau dikenali sebagai Abe Sudin dan ­Matthews Izzac yang merupakan peminat tegar kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea.

Pemilihan itu merupakan pengiktirafan manis buat industri e-Sukan tanah air terutama bagi permainan video FIFA sekali gus merealisasikan impian mereka berdua sejak tujuh tahun lalu.

Ini adalah peluang terbaik buat Hafiz yang diberikan tanggungjawab mengulas dalam bahasa Malaysia sementara Matthews bagi bahasa Inggeris, menonjolkan kemampuan ulasan mereka di peringkat antarabangsa.

Hafiz atau lebih dikenali sebagai Abe Sudin menitiskan air mata apabila menerima emel pengesahan FIFA yang menyatakan dia terpilih sebagai pengulas rasmi Piala Dunia Kelab eFIFA.

“Saya menitiskan air mata apabila menerima emel pengesahan daripada FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) yang menyatakan saya terpilih sebagai pengulas rasmi untuk Piala Dunia Kelab eFIFA.

“Saya tidak pernah menjangka ini (saya) anak Malaysia pertama terpilih. Ia semestinya kenangan terindah dalam hidup saya serta karier sebagai pengulas e-Sukan bola sepak.

“Penantian sekian lama ditambah dengan dugaan serta cabaran sejak tahun lepas. Sebagai seorang pengulas profesional e-Sukan untuk FIFA di Malaysia, tiada apa yang dapat mengatasi perasaan ini, saya ­hanya mampu ucapkan alhamdulillah,” kata Hafiz.

Sebagai rekod, Hafiz dan Matthews sudah mengulas lebih daripada 150 pertan­dingan e-Sukan di Malaysia sejak 2014 antaranya kejohanan interaktif eMFL anjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tahun lepas.

MATTHEWS berbangga kerana berjaya membuktikan mampu mengembangkan kariernya sebagai pengulas e-Sukan FIFA dalam bahasa Inggeris ke peringkat tertinggi.

Bagi Matthews, dia amat berbangga ke­rana akhirnya berjaya membuktikan mampu mengembangkan kariernya sebagai pengulas e-Sukan FIFA ke peringkat tertinggi sekali gus menepis tohmahan diterimanya sepanjang tujuh tahun kebelakangan ini.

“Banyak yang saya dengar antaranya ‘mustahil’, ‘anda cuma buang masa’ dan ‘matlamat sia-sia’. Malah, ada yang pernah meragui mampukah saya mencapai tahap ini sedangkan belum pernah ada rakyat Malaysia melakukannya?

“Namun, saya tidak pernah menyerah, sebaliknya tetap percaya bahawa suatu hari impian saya akan tercapai. Teruskan bekerja keras dan jangan sesekali mengalah mengejar impian anda,” jelasnya.

Pada masa sama, Matthews menganggap ini bukan pengakhiran kariernya, sebaliknya adalah permulaan kepada impiannya untuk bergelar pengulas kancah Liga Perdana Inggeris dan Piala Dunia pada masa depan.

Bukan sahaja Hafiz dan Matthews, seorang lagi pengulas e-Sukan negara, Aiman Roshizam atau lebih dikenali dengan nama Sekaiichi, turut terpilih menggalas tanggungjawab sebagai wartawan zon pada kejohanan tersebut.

“Ini adalah satu tanggungjawab yang besar dan saya berjanji akan memberikan yang terbaik untuk mempromosikan zon Asia di pentas dunia. Saya harap analisis-analisis saya tidak akan mengecewakan semua nanti,” katanya.

Sebagai rekod, dua wakil negara, GBX Esports Team dan Wicked Esports disertai dua pa­sukan dari Jepun, Kashima ­Antlers serta Blue United eFC akan mewakili benua Asia pada Piala Dunia Kelab eFIFA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI