REMBAU – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah ungkapan yang sesuai buat seorang isteri yang sudah lebih setahun menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi sembilan sekeluarga termasuk dirinya.
Norhasikin Mohd. Sarif, 40, berkata, sebelum ini dia tidak bekerja dan hanya suaminya, Abdul Aziz Hamid, 64, yang mencari nafkah dengan bekerja kampung serta mencari rebung untuk dijual.
Bagaimanapun, menurutnya, segala-galanya berubah apabila suaminya itu diserang angin ahmar pada Oktober 2019.
“Namun, saya tidak boleh bekerja tetap kerana menguruskan tujuh orang anak yang semuanya masih bersekolah dan juga suami yang ketika itu masih terlantar akibat angin ahmar.
“Kini, suami saya makin pulih dan boleh berjalan. Mulai Jun tahun lepas saya mengambil upah sebagai pembantu kedai setiap Sabtu dan Ahad dengan upah RM50 sehari, namun kini upah berkenaan dikurangkan kepada RM30 sehari susulan pelanggan kurang datang ke kedai,” katanya ketika ditemui di Kampung Pekan Kota, di sini semalam.
Menurutnya, dia berasa lega apabila ada dua pertubuhan bukan kerajaan yang menyumbangkan dua buah komputer riba untuk anak-anaknya.
“Setiap bulan saya memperuntukkan hampir RM230 untuk menambah nilai talian telefon bimbit enam anak untuk mengakses kelas masing-masing.
“Saya juga ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitumal buat anak-anak,” ujarnya.
Menurutnya, upah sebagai pembantu kedai dan menjaga ternakan ayam kampung di rumahnya sejak dua bulan lalu sememangnya tidak mampu untuk menampung keperluan mereka sekeluarga.
Individu yang mahu menyumbang bantuan boleh menghulurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 05117 41 0000 0518-0 atas nama Norhasikin Mohd. Sarif.