KARYA ini ditonton sekitar tiga minggu lalu. Pada waktu tersebut, sebuah naskhah Bollywood yang diperkatakan ramai, The White Tiger belum sampai ke pengetahuan penulis secara peribadi.
Tribhanga merupakan satu bentuk seni yang divisualkan yang baik berkisarkan tentang kepentingan atau signifikan menjaga hubungan kekeluargaan. Seiring Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang masih ‘berleluasa’ hingga sekarang, filem berkenaan membuatkan penulis senang tersentak.
Masakan tidak, lama benar rasanya tidak bertemu keluarga di kampung halaman disebabkan PKP. Kalau bercakap soal rasa rindu, tidak dapat diukur dengan rasa. Kalau rindu disamakan dengan air, pasti sudah melimpah-ruah tidak tertanggung lagi.
Berbalik tentang Tribhanga, karya berkenaan tidak banyak celanya. Baik dari segi pengarahan, perkembangan watak, efek bunyi dan visual, elemen-elemen tersebut dijayakan dengan baik, selayaknya untuk sesebuah bentuk seni yang dipanggil filem.
Perlu diingatkan filem berkenaan berdasarkan kisah benar yang diinspirasikan daripada pengalaman hidup pengarah, Renuka Shahane bersama ibunya yang tercetus sekitar 2014.
Penulis sebenarnya lebih sensitif terhadap sesebuah karya yang diangkat daripada kisah benar, terutama dari tingkap hidup mereka yang terlibat secara teknikalnya dalam pembikinan sesebuah karya.
Shahane tahu dan peka benar apa yang ingin diterjemahkannya di bangku pengarah. Secara peribadi, naratif yang ingin disampaikannya mudah berbekas terhadap sesiapa yang amat mementingkan nilai kekeluargaan dalam kehidupan.
Kajol ‘hati keras’
Adegan ketika Anu (lakonan Kajol) menghalau ibunya dari rumah kerana berpendapat si ibu tidak menjalankan tanggungjawab dengan betul sepanjang hidupnya benar-benar berbekas di hati penulis.
Watak yang dijayakan Kajol merupakan seorang wanita berhati keras, kurang ajar, namun pada masa sama, tersembunyi empati yang dibutakan oleh pengalaman hidupnya bersama si ibu yang sangat taksub terhadap kerjaya sebagai seorang penulis.
Ibu Anu bernama Nayan (lakonan Tanvi Azmi) menterjemahkan wataknya dengan cemerlang. Bayangkan anda datang daripada latar belakang keluarga yang berpecah-belah disebabkan terlalu mengejar kerjaya, bagaimana kehidupan anak-anak anda?
Adakah mereka mempunyai peluang untuk hidup seperti anak-anak lain dalam realiti hidup yang lebih baik? Itu antara persoalan yang bermain dalam fikiran penulis usai 90 minit menghabiskan masa menelaah karya tersebut.
Malangnya, penulis kurang terkesan dengan watak wanita generasi ketiga keluarga Nayan iaitu Masha yang dijayakan oleh Mithila Palkar.
Secara peribadi, penulis kurang gemar dengan pemilihan pelakon tersebut memainkan watak Masha. Dia seperti tidak berjaya mengheret sebuah penghayatan terutama adegan air mata.
Adegan yang penulis maksudkan ketika Anu baru sedar yang selama ini dia tiada jauh berbeza dengan ibunya, Nayan. Dia membelakangkan perasaan Masha dan mementingkan diri sendiri sebagai seorang ibu. Itu yang selalu berlaku dalam hidup kita sebagai manusia, namun kerana menghormati perasaan seorang ibu, hati terkadang terpaksa merelakan apa yang tidak direlakan.
Seperti The White Tiger, Tribhanga juga tidak boleh lari dengan penamat yang kurang memuaskan hati. Biarpun penulis sepertinya tidak mempunyai masalah dengan penamat The White Tiger, entah mengapa seperti ada yang tidak kena dengan Tribhanga. Semuanya seoalah-olah tergesa-gesa sedangkan durasi filem berkenaan selama 90 minit.