BANGKOK – Seorang pemandu lori, Monthian Jansuk, 40, mendakwa menemui sebutir mutiara Melo berwarna jingga di dalam makanan laut yang dibelinya baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail.
Monthian dikatakan membeli siput berharga 50 baht (RM6) di sebuah pasar dekat rumahnya di wilayah Chonburi. Anaknya menemui mutiara tersebut ketika makan makanan laut itu.
Lelaki itu dan isterinya, Wasana, 44, mengaku terkejut melihat anak mereka meluahkan mutiara sebesar duit syiling dan seberat 7 gram (g) tersebut.
Pada mulanya, mereka menyangka benda itu adalah telur siput tetapi menyedari ia mungkin mutiara Melo selepas mengingati berita penemuan serupa di Thailand bulan lalu. Mutiara tersebut adalah antara paling jarang ditemui di dunia.
Monthian sedang mendapatkan pengesahan pakar mengenai ketulenan mutiara itu.
“Keluarga dan jiran-jiran saya berkumpul untuk meneliti batu itu dan kami bersetuju bahawa ia adalah suatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
“Sudah tentu, kami mahu memastikan ia tulen tetapi saya dapat rasakan akan memperoleh wang yang banyak. Saya bersyukur kerana terdetik untuk membeli siput baru-baru ini. Mutiara ini akan mengubah hidup kami,” katanya.
Pada bulan lalu, seorang nelayan, Hatchai Niyomdecha, 37, menemui mutiara Melo ketika mengutip tiram di sebuah pantai di Thailand.
Dia ditawarkan sehingga RM1.3 juta bagi mutiara Melo seberat 7.68g yang ditemuinya. – Agensi