TANGGAL 5 Februari lalu sepatutnya menjadi hari paling bermakna buat pasangan penyanyi, Akim Ahmad dan Stacy Anam. Tarikh berkenaan merupakan ulang tahun kelima perkahwinan mereka.
Namun, tanpa disangka-sangka, hadiah yang diterima mereka ialah angin kontroversi mengaitkan rumah tangga. Tular di Twitter, Stacy dituduh sebagai isteri yang cemburu oleh seorang model kelahiran Vietnam, Jade Anh.
Dakwa model itu, sikap cemburu Stacy menjadi punca babak lakonannya dibuang daripada muzik video lagu Rampas nyanyian Akim & The Majistret.
Biarpun sempat melepaskan amarah di laman sosial berkenaan perkara tersebut, baik Akim mahupun Stacy mengambil positif atas kontroversi yang timbul dan menjadi lebih matang.
“Semestinya saya terkejut kerana cerita panas itu timbul kebetulan pada ulang tahun kami, 5 Februari lalu. Kata orang, tempoh lima tahun dalam perkahwinan merupakan masa mencabar dalam sesebuah hubungan. Alhamdulillah, kami berjaya melaluinya dengan tenang.
“Saya dan Akim sudah memaafkan Jade kerana dia tidak bersalah dalam hal ini. Mungkin dia tidak tahu cerita sebenarnya atau mungkin ada pihak yang mencucuk atau menyampaikan perkara tidak sepatutnya kepada Jade.
“Pengalaman kali ini mengajar kami untuk menjadi insan yang lebih baik. Hikmahnya, selepas itu semakin ramai yang mendoakan baik-baik saja buat kami. Komunikasi dan tolak ansur penting supaya masalah yang timbul tidak bertambah besar,” kata Stacy.
Stacy maafkan
Menyambung bicara, penyanyi kelahiran Sabah itu membuka mulut terhadap dakwaan tentang sikap cemburunya yang didakwa oleh model berkenaan. Sebagai seorang penyanyi yang berpengalaman lebih sedekad, Stacy sentiasa mengamalkan sikap profesional terutama berkaitan karier seni.
Justeru, biarpun kontroversi cemburu tersebut tular, Stacy sama sekali tidak berasa marah terhadap Jade kerana sedar wanita itu bukan rakyat Malaysia dan tidak mengetahui mengenai budaya di negara ini.
Bahkan, kontroversi tersebut dilihat memakan diri model itu sendiri apabila rata-rata netizen menyifatkan dia sengaja menimbulkan isu yang berlaku pada 2018 untuk meraih publisiti murahan.
“Pasti ada yang mempersoalkan kenapa Akim masih melakonkan babak tersebut jika tidak bersetuju pada peringkat awal lagi.
“Namun, saya tahu mindanya berada di awang-awangan ketika itu kerana masih berduka dengan pemergian ibunya.
“Jika mengikut perbincangan awal, kami menyusun jalan cerita muzik video sebaiknya bagi memastikan mesej bagi lirik lagu itu sampai kepada penonton.
“Dalam hal ini, saya kecewa dengan orang sekeliling yang sepatutnya menjaga Akim dan pihak produksi muzik video itu juga. Produksi semuanya orang Malaysia, mengapa perlu rakam video seperti Barat,” luahnya kepada Kosmo!.
Tambah Stacy, suaminya kehilangan dua insan tercinta pada tahun 2018 iaitu arwah ibu dan neneknya. Akim mengakui lemah pada ketika itu. Tetapi bangkit demi mencari rezeki buat keluarganya.
Menurut pelantun lagu Kasanova itu, ciapan Akim di Twitter baru-baru ini ditujukan kepada pihak produksi yang masih berdegil meneruskan konsep ala Hollywood, sedangkan lagu Rampas adalah berkisar mengenai kehilangan insan tersayang.
Single Rampas itu mendapat sentuhan melodi Hang Nadim dan Laq, manakala lirik lagu ditulis oleh Bunga Cantik yang merupakan nama pena Stacy dalam bidang penulisan lagu. Lagu berkenaan dilancarkan menerusi platform media sosial pada 31 Ogos 2018.
“Ia mengisahkan mengenai kerelaan seseorang untuk melepaskan insan yang dicintai dengan reda. Kematian itu pasti, biarpun perit untuk menerima suratan berkenaan, namun hidup harus diteruskan demi mereka yang ada di sekeliling kita,” kata Stacy.
Idam anak lelaki
Selesai perihal kontroversi, bicara dilanjutkan tentang keluarga impian Stacy dan Akim. Sama seperti pasangan berumah tangga yang lain, mereka melihat kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga.
Memiliki dua orang anak perempuan, Bella Deluna, 9, (anak angkat) dan Eshaal, 4, pasangan yang tampil dengan lagu Aku Kau Dan Muzik itu berpendapat, sekarang adalah waktu yang untuk mereka menambah bilangan ahli keluarga.
“Keluarga kami kini diceriakan dengan gelagat Eshaal dan Bella, jadi kami sendiri mempunyai perancangan untuk menambah bilangan anak. Sudah dikurniakan dua orang puteri, kalau dapat anak lelaki pasti rumah lebih riuh rendah.
“Sungguhpun begitu, kami menyerahkan soal rezeki terhadap ketentuan Allah SWT. Sebagai sebuah keluarga kami sudah bersedia andai dikurniakan seorang lagi anak,” kata Stacy penuh pengharapan.
Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Stacy bakal tampil dengan single terbaharu sekitar April depan. Biarpun sinonim dengan lagu rancak, Stacy pernah juga membawa lagu balada seperti, Kisah Donggeng, Pelangi Senja dan Kapsul.
“Sudah lama rasanya saya tidak tampil dengan lagu berentak balada, kali terakhir mungkin pada tahun 2014. Malah, Akim memberi kebebasan kepada saya dan tidak menyekat untuk menggunakan khidmat komposer lain.
“Bukan mudah sebenarnya hendak mengekalkan stamina untuk kekal lincah di pentas, apatah lagi sudah bergelar isteri dan ibu kepada dua orang cahaya mata. Teruja juga untuk kembali merakamkan lagu berentak balada,” katanya.
Bunga Cantik, Stacy
Memilih nama Bunga Cantik sebagai nama pena, Stacy mengakui semakin seronok dan gian menghasilkan lagu bukan saja untuk diri sendiri, tetapi juga beberapa artis di bawah naungan syarikat miliknya bersama suami iaitu Rhythm And Rhyme (RNR).
“Pemahaman saya terhadap muzik lebih jelas dan luas apabila terbabit dalam bidang ini. Malah, sebagai penyanyi juga membuatkan diri lebih memahami melodi lagu itu. Banyak perubahan yang dirasai setelah berada di belakang tabir.
“Mencuba sesuatu yang baharu, saya menjadi seperti ketagih untuk menulis lirik dan menghasilkan lagu. Pandemik ini memberi ruang kepada syarikat kami untuk berbincang lebih mendalam mengenai penghasilan lagu dan muzik,” kata Stacy.