ISKANDAR PUTERI – Gara-gara tidak tahan jiran buat bising, seorang warga emas bertindak luar kawalan melepaskan tembakan menggunakan senapang angin ke arah kereta Perodua Myvi dalam kejadian di Taman Ulu Choh, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner, Dzulkhairi Mukhtar berkata, pengadu berusia 21 tahun memberitahu kejadian berlaku pada pukul 3.15 petang ketika sedang melalui kawasan tersebut menghala ke jalan keluar ke Jalan Senduduk.
Katanya, pengadu menyedari pintu kereta bahagian belakang sebelah kanan terkena sesuatu seperti kesan tembakan disyaki dari rumah berdekatan jalan tersebut.
“Kejadian ini dipercayai berlaku disebabkan oleh sikap pengadu yang sering membunyikan keretanya dengan kuat hingga mengganggu jiran tetangga.
“Sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menahan seorang warga emas lelaki berusia 63 tahun kira-kira pukul 5.30 petang.
“Pihak polis telah membuat penggeledahan di rumah lelaki tersebut dan menjumpai dua laras senapang tiruan dan tiga biji guli yang disimpan di bawah almari bahagian dapur rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dzulkhairi berkata, polis turut merampas sehelai seluar pendek warna hitam tertera tulisan NYJC sebagai bahan bukti.
Katanya, siasatan awal mendapati senapang tersebut dibuat sendiri oleh suspek berdasarkan pembelajaran di laman YouTube
“Siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang dilaporkan di sebuah rumah dalam kawasan yang sama.
“Pihak polis masih menyiasat secara terperinci bagaimana senapang tersebut diperolehi,” katanya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960.-K! ONLINE