JOHOR BAHRU – Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan terdapat seramai 39 kakitangan pusat pentadbiran awam di Bukit Senyum di sini positif Covid-19 baru-baru ini.
Ayob Khan berkata, kes positif itu dikesan daripada seorang individu pada 7 Februari lalu sebelum ujian saringan dilakukan atasnya positif Covid-19.
“Setelah individu itu disahkan positif Covid-19 pada 10 Februari, kita buat pengesanan kontak rapat kepada individu berkenaan.
“Susulan itu kita mendapat 38 individu lagi positif Covid-19 yang merupakan kluster dari pejabat tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini hari ini.
Beliau berkata, secara keseluruhan sejak tahun lalu hingga kini seramai 318 positif Covid-19 melibatkan 26 pegawai, 158 anggota, 23 kakitangan awam dan 111 ahli keluarga.
Tambahnya, seramai 304 sudah dikuarantin melibatkan 56 pegawai, 152 anggota, 47 kakitangan awam dan 49 ahli keluarga.
“Secara keseluruhan, seramai 622 individu dari Kontinjen Johor sudah dikuarantin sejak tahun lalu sehingga kini,” katanya.-K! ONLINE