fbpx

CUEPACS kecewa syarat tambahan pemberian one-off petugas KKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan Mat

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meluahkan rasa kecewa selepas pemberian one-off RM500 kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai kadar dan kelayakan yang sangat berbeza berbanding dengan yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Presidennya, Adnan Mat berkata, surat edaran yang dikeluarkan KKM pada 11 Februari lalu menunjukkan kadar dan kelayakan bagi pemberian one-off telah ditetapkan kepada kadar penuh RM500 dan kadar separuh RM250.

“Petugas KKM hanya layak mendapat kadar penuh RM500 jika telah dibayar Elaun Khas Covid-19 tahun lalu pada kadar penuh selama tiga bulan atau lebih manakala mereka yang menerima elaun kurang daripada tiga bulan atau kadar separuh hanya layak menerima kadar separuh RM250.

“Lebih mengecewakan lagi petugas barisan hadapan ini ialah apabila mereka perlu membuat tuntutan one-off ini secara manual dengan mengisi borang tuntutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, tindakan KKM itu bukan sahaja boleh menyebabkan semangat perjuangan barisan hadapan luntur malah memberi tanggapan negatif kepada kerajaan.

Adnan menyifatkan tindakan membezakan pemberian one-off ini kepada dua kadar yang berbeza hanya bersandarkan kepada status penerima Elaun Khas Covid-19 ini adalah tidak adil.

“Walaupun petugas itu tidak mendapat tuntutan penuh Elaun Khas Covid-19, ia tidak bermaksud sumbangan petugas ini kurang.

“Perlu diingat apabila pandemik melanda telah menyebab penambahan beban tugas kerana tugas hakiki perlu juga diutamakan selain tugas berkaitan Covid-19,” ujarnya.

Justeru itu katanya, CUEPACS menggesa agar KKM membuang semua syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan dalam pemberian one-off ini kepada petugas barisan hadapan.

“CUEPACS berpendapat semua petugas KKM yang dikategorikan sebagai barisan hadapan dan telah bertungkus lumus dalam menangani pandemik Covid-19 layak diberi RM 500 tanpa mengambil kira syarat tambahan,” tegasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI