PETALING JAYA – Menggunakan jalan pintas untuk mempromosikan sesuatu barangan dengan membelakangkan etika perniagaan atau sensitiviti masyarakat, itu satu perkara bersifat dangkal yang kerap dilakukan segelintir selebriti tanah air.
Baru-baru ini, pelakon Syatilla Melvin memuat naik sebuah video transformasi kulit gelap bertukar menjadi cerah. Menerusi video tersebut, isteri kepada pelakon Shaheizy Sam itu menconteng wajahnya menjadi gelap sebelum kemudian bertukar cerah selepas menggunakan produk keluarannya.
Syatilla atau nama lengkapnya, Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 30, tampil membuat permohonan maaf berhubung keterlanjuran tindakannya yang menjadi perbualan ramai terutama dalam gelanggang media sosial.
“Tak nak buang masa, terus nak minta maaf kepada anda semua yang terasa hati dengan saya. Ya Allah, Ya Tuhanku, sejujurnya, demi Allah saya tiada niat apa-apa langsung pun.
“Video itu hanya ingin menunjukkan perempuan yang tak pandai pakai ‘eyeliner’. Perempuan yang pernah alami perkara atau situasi itu, mungkin mereka faham.
“Mungkin salah saya juga kerana saya terlepas pandang sensitiviti sesetengah pihak. Saya harap anda maafkan saya,” katanya dalam satu video yang dimuat baik sebentar tadi.
Tambah ibu kepada dua orang cahaya mata itu, dia juga sudah memaafkan orang yang mengecamnya disebabkan penularan video tersebut.
“Jangan risau, mana yang kutuk saya dan cakap bukan-bukan, saya sudah maafkan. Kepada kawan-kawan wartawan, saya mohon maaf sebab tak respons sebab taknak keruhkan keadaan,” katanya lagi.
Terdahulu, segelintir netizen mengatakan Syatilla sengaja berbuat demikian untuk meraih populariti dan mendakwa seolah-olah menunjukkan kulit putih lebih cantik berbanding gelap.
Tidak kurang dengan itu, ada juga yang meluahkan rasa kesal kerana sudah masuk tahun 2021 masih ada lagi peniaga menggunakan strategi pemasaran seperti itu untuk menjual produk.
“Kalau setakat nak jual bedak asas (foundation) banyak lagi jalan untuk market (pasarkan) kak oi. Tak usahlah blackface. Dan, orang pakai foundation bukan untuk jadi cerah tau,” ciap seorang selebriti media sosial, Nandini Balakrishnan dalam Twitter. – K! ONLINE