PETALING JAYA – Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini secara rasminya telah melancarkan saluran TV Pendidikan yang dikenali sebagai Didik TV KPM.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menyedari akan keresahan rakyat dalam situasi sukar dan mencabar ketika ini, termasuk hal berkaitan pendidikan anak-anak, kerajaan telah bersetuju untuk mewujudkan satu saluran khusus untuk siaran TV Pendidikan.
“Hari ini terukir satu sejarah di mana kerajaan buat pertama kalinya memperkenalkan DidikTV KPM sebagai saluran khusus TV Pendidikan dengan pengisian dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.
“Ini merupakan usaha berterusan KPM dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara,” jelas beliau ketika melancarkan DidikTV yang disiarkan secara langsung hari ini.
DidikTV KPM sebagai saluran khusus TV Pendidikan dengan pengisian dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari ini boleh ditonton melalui saluran NTV7.
Tambah Muhyiddin, DidikTV KPM akan menyiarkan program-program yang berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM. Saluran ini juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan daripada peringkat pra sekolah hingga tingkatan enam.
“Bukan itu sahaja, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid serta kandungan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi fokus kepada nilai-nilai murni dan pembangunan karakter murid akan turut disiarkan.
“Saya yakin bahawa DidikTV KPM akan dapat membantu pelaksanaan PdPR, khususnya bagi murid yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan secara dalam talian. Ibu bapa juga boleh meluangkan masa untuk menonton DidikTV KPM bersama-sama anak-anak,” kata beliau.-K! ONLINE