Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI
PUTRAJAYA – Seramai 839 rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa telah ditempatkan di enam stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor sehingga kini.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka tiba dari 17 negara iaitu Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, China dan Australia.
“Mulai esok, polis akan mengambil tindakan menangkap dan mendakwa di mahkamah individu yang masih belum tampil untuk ujian saringan kedua pada hari ke-13 kuarantin di rumah.
“Indvidu yang terbabit diarahkan untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat untuk melakukan ujian saringan kedua,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan, seramai 2,897 individu kuarantin di rumah yang masih belum tampil menjalani ujian saringan kedua Covid-19 akan ditangkap dan didakwa di mahkamah mulai esok. -K! ONLINE