PETALING JAYA – Pelakon Faezah Elai mengakui menghidap beberapa masalah mental antaranya anxiety disorder, OCD (obsessive compulsive disorder) dan insomnia.
Menurutnya, masalah insomnia telah dihidapi lebih 20 tahun lalu dan telah mendapatkan rawatan dengan mengambil ubat sejak berusia 12 tahun.
“Saya juga boleh tidak tidur seharian, dapat tidur sekitar satu atau dua jam sehari sudah memadai. Semakin dewasa, saya dapat mengawal masalah itu kerana tidak mahu terlalu bergantung dengan ubat tidur.
“Namun, selepas berkahwin dan mempunyai anak, masalah mental yang lain seperti anxiety dan OCD bertambah teruk,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Disebabkan masalah tersebut, pelakon berusia 38 tahun itu atau nama sebenarnya, Noor Faezah Md. Elai juga terlalu banyak berfikir sehingga kadangkala menjejaskan rutin hariannya.
“Memandu kereta pun saya rasa begitu penat kerana terlalu fokus. Suami juga tidak boleh bawa kereta terlalu laju.
“Anak-anak juga faham dan mereka tidak akan menyentuh benda-benda kotor nanti ibu marah,” kata isteri kepada pengarah drama, Heykal Hanifah itu.
Namun, apa yang membimbangkannya anak sulungnya Dealova Heyrinna, 8, juga telah menunjukkan tanda-tanda menghidap Insomnia.
“Dea (Dealova) tidur 2 pagi itu pun perlu paksa. Ibu saya juga menghidapi masalah sama,” ujarnya.