PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Soong Joo Ven mengakui sudah tidak sabar untuk kembali ke gelanggang dan beraksi pada kejohanan kompetitif.
Bekas pemain naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu berkata, dia perlukan saingan kompetitif kerana kedudukannya dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semakin merudum.
Dia yang kini bergerak secara bebas berharap dapat menyertai Terbuka Switzerland yang dijadualkan bermula 2 hingga 7 Mac depan meskipun berada dalam senarai simpanan.
“Buat masa sekarang saya masih berada dalam senarai simpanan bagi kejohanan Terbuka Switzerland, jadi masih perlu menunggu jika ada pemain lain menarik diri.
“Saya sangat berharap untuk bermain di sana kerana sudah lama tidak menyertai kejohanan kompetitif. Ranking juga semakin lama semakin menurun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pemain yang berada di ranking ke-70 dunia itu menegaskan, kejohanan kompetitif amat penting bagi menilai kemampuan sebenar dirinya.
“Sebelum menyertai kejohanan, saya perlu memperkemaskan beberapa aspek permainan kerana kurang berlatih sebelum ini, lebih-lebih lagi gelanggang latihan baru diberi kebenaran untuk beroperasi,” ujarnya.
Kali terakhir Joo Ven beraksi pada kejohanan kompetitif adalah ketika menyertai Jelajah Dunia Super 300 Thailand Masters tahun lalu.