fbpx

UniMAP martabatkan olahraga negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGANJURAN Kursus Kejurulatihan Olahraga Tahap 1 anjuran UniMAP dan KOM dijalankan secara dalam talian melibatkan 50 peserta selama 14 hari bermula kelmarin.

UNIVERSITI Malaysia Perlis­ (UniMAP) dilihat serius dalam memperkasakan sukan olahraga tanah air apabila menganjurkan Kursus Kejurulatihan Olahraga Tahap 1 dengan kerjasama Ke­satuan Olahraga Malaysia (KOM).

Kursus yang berlangsung selama 14 hari bermula kelmarin itu dijalankan secara dalam talian melibatkan 50 peserta yang terdiri daripada guru sukan, jurulatih muda serta pelajar uni­versiti.

Penganjuran kursus tersebut menjadikan UniMAP sebagai organisasi pertama yang me­ngendalikan sepenuhnya kursus mengikut norma baharu memandangkan kes Covid-19 di Lembah Klang belum menunjukkan penurunan.

Pengarah Pusat Sukan ­UniMAP, Suhizaz Sudin berkata, kursus kejurulatihan 14 hari yang melibatkan penilaian teori dan amali itu turut mendapat kelulusan Olahraga Dunia.

“UniMAP mengambil inisiatif mengadakan perbincangan bersama KOM untuk menganjurkan kursus secara dalam talian. KOM juga mengakui ini adalah sesuatu yang baharu.

“Pada masa sama, KOM juga bersetuju penganjuran kursus kejurulatihan ini dapat dijadikan penanda aras dan ikutan orga­nisasi lain pada masa hadapan,” katanya menerusi satu kenya­taan rasmi semalam.

Sementara itu, Suhizaz mendedahkan, pihaknya turut mengadakan perbincangan ­dengan beberapa persatuan sukan lain bagi menganjurkan kursus sama seperti itu.

“UniMAP juga sudah me­ngadakan pertemuan dengan beberapa persatuan sukan lain. Tujuan kami adalah untuk anjurkan lebih banyak kursus sebegini pada masa hadapan,” ujarnya.

Kursus kejurulatihan yang julung-julung kali diadakan itu turut menarik minat beberapa bekas atlet kebangsaan dan dikendalikan oleh Pengarah Pembangunan Kejurulatihan KOM, S. Anbarassuu dan Penolong Kanan Sukan, Sekolah Sukan Malaysia Terengganu, Abg. Sapani Abg. Sarbini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI