GLASGOW – Pengendali Rangers, Steven Gerrard mendedahkan bahawa dia banyak ‘mencuri’ idea serta falsafah bola sepak yang diterapkan oleh dua bekas pengurus yang pernah membimbingnya ketika awal karier seperti Brendan Rodgers dan Sven-Goran Eriksson.
Sebagai rekod, Gerrard kini dianggap sebagai salah seorang jurulatih muda yang mana reputasinya semakin meningkat naik selepas berjaya membantu Rangers tampil cemerlang dalam usaha memburu kejuaraan Liga Scotland musim ini.
Namun, Gerard mengakui dirinya berada di tahap sekarang adalah hasil didikan daripada Rodgers yang merupakan bekas pengurus pasukan Liverpool pada 2012 hingga 2015 serta Eriksson yang pernah mengendalikan skuad antarabangsa England (2001-2006).
Kata Gerrard, setiap bekas pengendali yang pernah membantu meningkatkan kariernya ketika bergelar pemain mempunyai kelebihan serta kekurangan masing-masing dan hanya mengambil daripada sudut positif.
“Daripada sudut pengurusan bola sepak, saya telah belajar banyak perkara positif daripada semua bekas jurulatih yang pernah membimbing saya dan saya lihat mereka mempunyai daya tarikan yang cukup berbeza.
“Namun, daripada sudut taktikal, saya lihat Gerard Houllier dan Rafa Benitez memiliki falsafah yang sama kerana mereka menekankan kekuatan fizikal setiap posisi khususnya pertahanan dan situasi yang sama boleh dikatakan buat Roy Hodgson serta Fabio Capello.
“Tidak keterlaluan untuk saya katakan corak taktikal yang cuba saya terapkan bersama Rangers ketika ini adalah hasil daripada idea Rodgers dan Eriksson kerana kedua-dua pengendali ini memiliki falsafah bola sepak yang lebih moden dan segar. Hasilnya Rangers kini berada pada prestasi yang baik,” kata Gerrard. – AGENSI