PETALING JAYA- Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberi keterangan kepada pihak polis selama tiga jam berhubung fotonya yang tular didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
“Biarlah polis kumpul maklumat daripada semua pihak secara telus. Kita berikan segala kerjasama yang diperlukan kerana itu tanggungjawab kita,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Ahli Parlimen Ketereh itu turut berkongsi gambar sebuah bangsal di mana gambar tersebut diambil.
Beliau berkata Pengerusi Jawatankuasa Kebun Komuniti membawa dia berteduh beberapa minit untuk menunjukkan contoh sayur-sayuran yang ditanam.
“Di pondok itu saya menegur mengingatkan penganjur kemungkinan akan disalah ertikan, lalu kita sambung berjalan kaki keliling pinggir tasik yg kini menjadi kebun pelbagai sayuran,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, polis akan memanggil Annuar Musa untuk memberi keterangan mengenai dakwaan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini. -K! ONLINE