fbpx

Suspek pecah rumah panjat bumbung elak dikejar anjing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar daripada klip video yang menunjukkan suspek masih berada di atas bumbung rumah tersebut.

KOTA KINABALU – Seorang lelaki bukan sahaja dipercayai gagal memecah masuk sebuah rumah malahan terpaksa memanjat bumbung bagi menyelamatkan diri selepas dikejar dua ekor anjing peliharaan pemilik dalam kejadian di Taman Khidmat, di sini semalam.

Bagaimanapun, lelaki berusia 38 tahun berkenaan berjaya ditahan polis selepas kehadirannya disedari pemilik rumah terbabit dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai cuba memecah masuk ke rumah berkenaan sebelum dikejar dua ekor anjing milik pemilik rumah.

“Situasi itu menyebabkan suspek sukar melarikan diri sehingga terpaksa memanjat bumbung rumah.

“Kehadiran suspek akhirnya disedari penghuni rumah berusia 65 tahun dan kemudiannya terus menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.

“Sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menahan suspek sebelum dibawa ke Balai Polis Luyang untuk tindakan selanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Habibi, suspek turut didapati memegang sebatang besi ketika ditahan.

“Hasil ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati lelaki berkenaan didapati positif dadah jenis syabu.

“Semakan turut mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Sementara itu, Habibi memaklumkan suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI