KOTA TINGGI – Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merampas sejumlah 2,948 karton rokok pelbagai jenama menerusi Ops Merpati yang dijalankan di sekitar Punggai dan Batu Layar, di sini hari ini.
Markas itu dalam satu kenyataan memberitahu, rampasan bernilai RM442,200 itu ditemui pada pukul 11.20 pagi.
Menurut kenyataan itu, beberapa longgokan rokok tidak bercukai itu ditemui ketika pasukan rondaannya melalui satu lorong yang mencurigakan di kawasan terbabit.
“Penemuan itu melibatkan sejumlah 50 bungkusan plastik hitam yang ditutup dengan kanvas berwarna biru mengandungi rokok berjenama Red Black sebanyak 2,837 karton, Luffman (34 karton) dan 23 Vinte E Tress (77 karton).
“Kesemua rokok yang dirampas itu dianggar bernilai RM442,200 termasuk cukai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, kesemua barangan rampasan disahkan sebagai barangan seludup secara haram yang dibawa masuk dari Indonesia.
“Lokasi penemuan dipercayai merupakan tempat simpanan sementara sebelum ia dibawa masuk ke pasaran Malaysia.
“Kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan selanjutnya,”katanya.
Pihaknya turut memaklumkan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai di sini.-K! ONLINE