PETALING JAYA- Umat Islam dilarang terlibat dalam aplikasi yang tidak bermoral.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dalam satu kenyataan tampil memberi nasihat kepada umat Islam berkenaan isu laman Sugarbook.
“Merujuk kepada aplikasi Sugarbook yang menyediakan saluran pertemuan di antara golongan lelaki kelas atasan yang dikenali sebagai ‘Sugar Daddy’ dan golongan wanita lingkungan 18 hingga 35 tahun yang diistilahkan sebagai ‘Sugar Baby’, pihak PMWP dengan ini menegaskan kepada umat Islam sekalian bahawa sebarang perbuatan yang mendorong kepada berlakunya perzinaan adalah dilarang menurut syarak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Larangan itu sejajar dengan ayat Al-Quran dan hadis yang melarang umat Islam menghampiri zina.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengambil tindakan menyekat akses ke laman sesawang Sugarbook hari ini.
Ia dilakukan susulan kenyataan pihak tersebut yang berjanji akan menyiasat laman sesawang berkenaan. -K! ONLINE