PETALING JAYA-Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyeru semua pihak untuk bersama-sama mendoakan kesihatan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar segera pulih.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut menyifatkan Abdul Hadi sebagai seorang pejuang yang tabah dan pemimpin terbaik dalam membangunkan ummah.
“Saya mendoakan Tuan Guru sentiasa berada dalam lindungan Allah S.W.T. dan dikurniakan kesembuhan yang secepatnya selain diberikan kesihatan untuk memimpin umat.
“Peranan beliau dalam pembentukan PN adalah amat signifikan khususnya menggembleng persefahaman bagi menjamin kestabilan politik negara,” katanya tadi.
Pada masa sama, Mohamed Azmin turut menzahirkan rasa prihatin kepada kesihatan Abdul Hadi yang kini sedang mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Abdul Hadi dimasukkan ke IJN selepas mengalami masalah sesak nafas semalam. -K! ONLINE