fbpx

Pengarah syarikat jadi pesalah pertama curi kandungan Astro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ng Lee Lee didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini.

SHAH ALAM – Perbuatan seorang pengarah syarikat menjual aksesori telefon bimbit memiliki kotak media perisian bagi memperoleh perkhidmatan kandungan Measat Broadcast Network Sdn Bhd. secara menipu mengundang padah apabila dijatuhi denda RM30,000 bagi kesemua enam pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Ng Lee Lee, 46, yang menjadi pesalah pertama dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 232 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 turut diarahkan Hakim Muhamad Anas Mahadzir menjalani penjara selama sebulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda itu.

Terdahulu, ibu kepada tiga orang itu yang mengaku bersalah bagi semua pertuduhan itu telah ditegur Muhamad Anas dalam penghakimannya yang menyifatkan tindakannya itu seperti aktiviti cetak rompak.

“Ini satu bentuk piracy (cetak rompak) dengan mengambil jalan mudah dan keuntungan atas titik peluh orang lain.

“Pengakuan dan kejujuran (mengaku bersalah) dihargai. Namun, salah tetap salah kerana merupakan kesalahan serius,” katanya.

Mengikut keenam-enam pertuduhan, wanita itu didakwa memiliki enam buah kotak media jenama iBoite yang telah dimasukkan dengan perisian MyTV.apk untuk memperoleh secara fraud perkhidmatan aplikasi kandungan yang dibekalkan oleh Measat Broadcast Network Sdn Bhd.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Taman Putra Prima, Puchong dekat sini pada 12 Dis 2019 pada pukul 2.30 petang.

Justeru, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan denda tidak melebihi RM300,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 232 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 232 (3) akta sama, sekiranya disabitkan kesalahan bagi setiap pertuduhan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi meminta hukuman berat dan denda RM30,000 bagi setiap pertuduhan berikutan melibatkan kepentingan awam.

“Tidak adil kepada mereka yang membayar bil Astro setiap bulan dan perlu menjaga karya pencipta kandungan serta menyebabkan kerugian daripada cukai kepada kerajaan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Peguam Low Li Qun yang mewakili tertuduh memohon denda dikurangkan kepada RM1,000 bagi setiap pertuduhan kerana perlu menanggung tiga anak termasuk sepasang kembar berusia 8 dan 17 tahun.

“Anak guam saya yang berpendapatan antara RM7,000 hingga RM8,000 sebulan juga perlu menanggung ibu bapa sendiri dan mertuanya dengan mereka mempunyai penyakit jantung dan diabetis,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI