ROMPIN – Dalam memastikan polis menjadi contoh terbaik kepada masyarakat termasuklah dalam aspek pematuhan trafik, Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Rompin bertindak proaktif apabila turut melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan warga IPD Rompin.
Untuk tujuan itu, satu sekatan jalan dan pemeriksaan diketuai Inspektor Muhammad Nazir Hanafi dibuat dalam IPD Rompin terhadap kenderaan keluar masuk baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Azari Miskon berkata, sekatan jalan berkenaan dibuat dalam memastikan setiap warga IPD Rompin sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas sekali gus menjadi contoh terbaik kepada masyarakat.
“Pemeriksaan seperti ini memang telah dilakukan di dalam IPD Rompin sejak dahulu dan akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan setiap warga IPD Rompin sentiasa mematuhi serta tidak melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Dalam pemeriksaan kali ini kita berpuas hati dengan aspek pematuhan yang ditunjukkan oleh semua warga IPD Rompin,”katanya di sini, hari ini.
Menurut Azari pemeriksaan dilakukan termasuklah lesen memandu dan juga cukai jalan kenderaan yang dipandu oleh anggota dan warga IPD berkenaan.
Selain itu, katanya, pemeriksaan juga dibuat terhadap kenderaan digunakan bagi memastikan ia mematuhi spesifikasi ditetapkan oleh kerajaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, aspek integriti sentiasa diberikan penekanan dan keutamaan terhadap semua anggota dan pegawai di IPD Rompin.
Ujarnya, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan dan semua warga IPD Rompin perlu memberi contoh yang baik kepada masyarakat.-K!ONLINE