PENGELUAR minuman terkemuka dunia, Coca-Cola menguji botol kertas sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang syarikat itu untuk tidak menggunakan plastik sebagai pembungkusan produk mereka sepenuhnya.
Prototaip botol kertas tersebut telah dibangunkan oleh syarikat yang berpangkalan di Denmark.
Ia menggunakan kertas yang sangat kuat tetapi masih mengandungi pelapik plastik nipis.
Tujuan utama syarikat minuman itu berbuat demikian adalah untuk membuat botol bebas plastik yang boleh dikitar semula 100 peratus.
Syarikat itu menetapkan matlamat untuk mengurangkan penghasilan sisa buangan pada tahun 2030.
Pengurus komersial syarikat itu, Michael Michelsen menjelaskan, botol-botol itu terbentuk daripada satu kepingan bahan berasaskan serat kertas untuk menguatkannya.
“Itu adalah sebahagian daripada rahsia penghasilan botol kertas ini,” katanya.
Walaupun ujian untuk menghasilkan botol kertas itu berjalan dengan sempurna, cabaran sebenarnya adalah untuk membuang bahan plastik sepenuhnya.
Oleh kerana kertas tidak dapat bersentuhan langsung dengan cecair, penggunaan lapisan nabati di bahagian dalam botol mungkin akan digunakan.
“Kami mempunyai beberapa pilihan yang pelbagai untuk menghasilkan botol kertas ini, tetapi adalah sesuatu yang pasti untuk mengujinya terlebih dahulu,” jelas Michelsen.