fbpx

Inspektor polis didakwa minta rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Firdaus (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta suapan daripada seorang lelaki dua tahun lalu .- Foto ZULFACHRI ZULKIFLI.

IPOH – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta rasuah daripada seorang lelaki, dua tahun lalu.

Tertuduh, Firdaus Khalid, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Inspektor (D9) Risikan di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak didakwa meminta suapan berjumlah RM1,000 hingga RM1,500 daripada Woo Kin Soon, 36.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tertuduh menyediakan laporan pakar judi yang negatif bersabit kertas siasatan IPOH/JSJ/KS/1333/19.

Perbuatan tersebut dilakukan lelaki itu di Bahagian Siasatan Jenayah Balai Polis Kampung Tawas di sini pada 24 Jun 2019.

Pendakwaan ke atasnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Nurul Wahida menawarkan jaminan RM20,000 ke atas tertuduh namun peguam, Mohamad Salihen Mastor yang mewakili Firdaus memohon jumlah jaminan dikurangkan antara RM5,000 hingga RM8,000.

Menurut Mohamad Salihen, anak guamnya yang masih bertugas itu memberi kerjasama baik sepanjang siasatan selain merupakan penanggung tunggal untuk isteri dan tiga anak.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Mei depan untuk sebutan semula bagi pengurusan kes.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI