Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
SEBERANG PERAI – Seramai 21 individu termasuk lima wanita warga tempatan berusia di antara 21 hingga 41 tahun dicekup dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Impian Murni, Bukit Mertajam di sini awal pagi tadi.
Serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu dilakukan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ketika kesemua suspek dipercayai sedang leka berjudi.
Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, pihaknya turut merampas wang tunai yang dipercayai digunakan untuk tujuan perjudian berjumlah kira-kira RM32,213.
“Polis juga merampas beberapa peralatan perjudian termasuk satu set daun terup yang berjumlah 52 keping, dua buah meja dan lapan buah kerusi plastik,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar Shafee, kes itu disiasat di bawah Seksyen 6(1) dan Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Selain itu katanya, polis turut menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPB) 2021 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – K! ONLINE