PEMAIN apit kanan Penang Black Panthers, Shahalril Aiman Halim kini menjadi nama baharu yang meniti bibir para peminat sukan sepak takraw menerusi rejaman-rejaman derasnya sepanjang saingan Sepak Takraw League (STL) 2020.
Kecemerlangan Shahalril Aiman menyaksikan Penang Black Panthers membuka tirai STL Champions League 2020 dengan langkah kanan menerusi kemenangan 2-0 ke atas Kelantan Warriors pada perlawanan pertama Kumpulan B bulan lalu.
Jurulatih Penang Black Panthers, Saiful Nizam Mohd. mengakui anak didiknya itu mampu melangkah jauh dan menjadi antara nama besar dalam sepak takraw negara jika terus berusaha meningkatkan tahap permainannya.
“Dia (Shahalril Aiman) memang ada potensi untuk pergi lebih jauh, cuma kena rajin dan tingkatkan permainan. Tidak mustahil dia boleh jadi antara yang terbaik di Malaysia.
“Pukulan bolanya sudah bagus, namun dia masih perlu perkemaskan lagi beberapa aspek seperti pengambilan bola pertama dan rejaman, selain teknik hadangan,” katanya.
Harapan peminat untuk menyaksikan rejaman deras perejam berusia 19 tahun itu tidak kesampaian apabila saingan terpaksa ditunda disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Januari lalu.
Kini tumpuan pastinya terarah semula kepada aksi beregu Penang Black Panthers diwakili Shahalril Aiman, Zarif Merican (tekong) dan Zulhusni Basri (apit kiri) selepas STL Champions League disahkan kembali berlangsung bermula 2 hingga 6 Mac ini.