PETALING JAYA – Polis telah menjalankan siasatan tatatertib berhubung aspek kecuaian dan salah laku melibatkan kejadian rogol di lokap Balai Polis Pusat Miri, Sarawak pada 9 Januari lalu.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, selain tindakan dari sudut jenayah terhadap dua anggota polis, seramai 11 orang terdiri daripada pegawai dan anggota yang didapati gagal serta cuai menjalankan tugas turut akan dikenakan tindakan.
“Pada 9 Januari lalu, satu kejadian rogol terhadap seorang tahanan perempuan berusia 16 tahun di Balai Polis Pusat Miri telah dilaporkan.
“Susulan kejadian itu, dua laporan polis telah diterima. Laporan pertama dibuat oleh anggota polis melibatkan kejadian rogol yang disiasat di bawah Seksyen 376, Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Artikel berkaitan: PDRM siasat anggota terlibat
Sementara itu, beliau berkata, laporan kedua dibuat oleh mangsa rogol yang mendakwa berlaku kecuaian dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 166 Kanun Keseksaan dan Seksyen 221 akta sama.
Kedua-dua kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan pertuduhan.
Seorang lelaki berusia 19 tahun telah dituduh di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan pada 12 Januari llau.
Jelas beliau, bagi laporan kedua, dua anggota polis yang bertugas menjaga lokap pada masa kejadian telah ditahan kerja bermula 14 Januari lalu.
Mereka telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 pada 9 Januari lalu.
Dalam pada itu, Zamri berkata, pihaknya turut memandang serius ke atas beberapa kejadian gangguan seksual melibatkan anggota dalam sekatan jalan raya yang tular baru-baru ini.
“Tindakan tegas dari sudut jenayah dan tatatertib akan diambil ke atas semua yang terlibat sekiranya didapati bersalah.
“Kesemua mereka juga telah dikeluarkan daripada menjalankan tugas SJR sehingga siasatan selesai,” katanya. -K! ONLINE