JITRA – Polis menemui sebanyak 24 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja yang disembunyikan di kawasan cerun bukit di Hutan Simpan Sungai Badak di Bukit Kayu Hitam dekat sini semalam.
Guni plastik berisi ketulan mampat ganja dianggarkan seberat 24.7 kilogram (kg) dan bernilai RM60,000 itu ditemui sepasukan polis dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 7 malam.
Lokasi tersebut terletak kira-kira 500 meter dari Thailand.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggotanya melakukan pemantauan dan pemerhatian di kawasan hutan simpan itu sebelum menemui satu guni plastik.
“Guni plastik itu ditemui dalam keadaan berikat di kawasan tersorok di cerun bukit, seterusnya anggota membuat pemerhatian ke atas barangan tersebut.
“Walau bagaimanapun, tiada sebarang pergerakan individu dikesan menghampiri guni berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.
Katanya, polis kemudian merampas dan membawa pulang guni itu ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE