SELAYANG – Padah mencederakan tunang adik perempuannya dengan menendang dagu lelaki itu, seorang juruteknik didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan menjatuhi hukuman itu ke atas Ahmad Akmal Azhar ,25, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah juga turut memerintahkan tertuduh penjara tiga bulan lagi sekiranya gagal membayar denda itu dan tertuduh membayarnya.
Selain Ahmad Akmal turut dituduh atas pertuduhan sama ialah bapa saudaranya, Mohd. Amirudin Mohd. Zain ,29, namun lelaki itu mengaku tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas Muhammad Nuraiman Abdul Shukor ,22, di Sungai Tua, Batu Caves, Gombak di sini pukul 3.30 petang pada 22 Januari lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara boleh sampai setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kecederaan ringan yang dialami mangsa selain memohon satu tarikh sebutan untuk tertuduh Mohd. Amirudin.
Mahkamah kemudian membenarkan Mohd. Amirudin diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh 13 April ditetapkan ini untuk sebutan kes dan serahan dokumen. -K! ONLINE