PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)) memberi amaran akan terus memantau dan menyiasat bersama polis mengenai aplikasi Sugarbook serta akan mengambil tindakan terhadap pengguna serta pemilik platform itu jika didapati melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Komunikasi Korporat SKMM hari ini berkata, jika terdapat unsur kegiatan pelacuran, tindakan lanjut akan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“SKMM mengambil berat dengan gimik pemasaran lama cari teman Sugarbook baru-baru ini yang mendakwa semakin ramai wanita Malaysia terutamanya penuntut universiti, menawarkan diri sebagai Sugar Baby di laman aplikasi tersebut.
“Dakwaan seperti yang terdapat dalam gimik pemasaran itu perlu disiasat untuk disahkan kerana profil pengguna boleh diolah sesuka hati untuk tujuan yang berlainan termasuk bagi memperdaya mangsa,” jelas kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, SKMM juga memaklumkan selain daripada Sugarbook, terdapat pelbagai aplikasi lain yang menawarkan perkhidmatan ‘Dating Service atau percintaan dalam talian.
Justeru kata SKMM, pengguna perlu sedar bahawa mereka mudah tertipu dan terdedah kepada risiko jenayah siber sekiranya tidak mengambil langkah keselamatan siber dan kawalan kendiri.
“Risiko scam percintaan akan bertambah dengan terdedah juga kepada malware dan spyware, kebocoran maklumat peribadi dan gangguan seksual,” kata kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, SKMM menasihatkan pengguna aplikasi internet sentiasa berhati-hati memberikan maklumat peribadi ketika melayari media sosial atau aplikasi dalam talian, terutamanya untuk berhubung dengan orang yang tidak dikenali, contohnya di laman pencarian teman. -K! ONLINE.