SEREMBAN: Seramai 17,000 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di negeri ini pada 22 Februari depan berada dalam keadaan sihat dan bersedia.
Pengarah Pendidikan negeri, Md. Fiah Md. Jamin berkata, bilik peperiksaan juga kini sedang di peringkat akhir persediaan termasuk daripada segi penyediaan Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya peperiksaan berkenaan juga berjalan dengan lancar.
“Kesemua pelajar berkenaan sihat dan baik dan saya yakin mereka bersedia untuk menduduki peperiksaan minggu depan.
“Insya-Allah kami sedang menyediakan bilik peperiksaan dan persediaan dengan SOP, kami harap peperiksaan SPM dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar. Taklimat juga akan diberikan oleh pengarah peperiksaan pada petang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyerahan Surat Pelantikan dan Amanat Pengarah Kepada Guru Baharu Sekolah Menengah dan Rendah Bilangan 1/2021 yang diadakan secara pandu lalu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Seri Sendayan dekat sini hari ini.
Pada majlis tersebut, seramai 79 guru sekolah menengah dan 12 guru sekolah rRendah di seluruh negeri ini menerima surat pelantikan guru baharu hari ini. – K! ONLINE