KUALA LUMPUR – Selepas lima bulan berehat berikutan pemergian suami tercinta Ashraf Sinclair, penyanyi popular Indonesia Bunga Citra Lestari akhirnya bersedia untuk kembali menghiburkan peminat.
Penyanyi yang mesra disapa BCL itu akan tampil menerusi showcase dalam talian Melangkah Lagi yang bersiaran secara langsung menerusi akaun YouTube miliknya, Its Me BCL pada 3.30 petang hari ini.
Dengan menggunakan tanda pagar #BCLmelangkahlagi, persembahan itu merupakan langkah pertama BCL untuk kembali kepada hal yang sangat dicintainya iaitu menyanyi.
Menerusi showcase itu, BCL akan menyampaikan tiga buah lagu termasuk single terbaharunya 12 Tahun Terindah yang dilancarkan pada 18 Julai lalu.
Persembahannya nanti akan diiringi oleh BCLband dengan mendapat sentuhan garapan muzik oleh Ronald Steven sebagai pengarah muzik.
Showcase Melangkah Lagi dirakam di studio yang dibina di tingkat tiga kediamannya di Jakarta.
Baru-baru ini, lagu 12 Tahun Terindah yang didedikasikan khas untuk arwah suaminya menjadi tular kerana kandungan klip video rasmi single itu dipenuhi dengan imbasan kenangan manis bersama Ashraf dan anak mereka, Noah Aidan Sinclair.
Klip video yang merupakan arahan Adam Sinclair itu menyentuh hati ramai termasuklah rakan-rakan selebriti yang ternyata sebak mendengar luahan hati BCL.
Sehingga kini klip video itu mencatat tontonan sebanyak hampir 12 juta.
Terdahulu pada 18 Februari lalu dunia hiburan dikejutkan dengan berita pemergian Ashraf, 40, yang meninggal dunia pada pukul 4 pagi di Jakarta akibat serangan jantung. – K! ONLINE