PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat siasatan segera agar mangsa gangguan seksual di Sekatan Jalan Raya (SJR) seperti yang dilaporkan diberikan pembelaan dan pelaku diambil tindakan undang-undang, jika dibuktikan
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, perbuatan terkutuk itu sama sekali tidak boleh dipandang enteng, apatah lagi jika ia melibatkan anggota penguat kuasa.
“Dalam mengendalikan isu ini, saya amat berharap semua pihak saling menghormati dan tidak mempersoalkan kredibiliti keseluruhan institusi PDRM yang telah banyak berkorban dalam memastikan keselamatan negara.
“Saya juga ingin menegaskan pendirian dan komitmen KPWKM untuk meneruskan penggubalan sebuah perundangan khusus berkaitan gangguan seksual yang kini drafnya sedang dalam semakan kerajaan untuk dibentangkan di Parlimen nanti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rina berkata, perundangan khusus itu penting dan bersifat saling melengkapi kepada undang-undang sedia ada agar isu gangguan seksual dapat ditangani dengan lebih berkesan dan mampu melindungi mangsa, tanpa mengira wanita mahupun lelaki.
Pada masa sama, beliau menyeru semua rakyat Malaysia khususnya golongan wanita agar tampil membuat laporan sekiranya berhadapan dengan sebarang bentuk gangguan seksual, sama ada secara lisan, perbuatan atau melalui pelbagai isyarat oleh pelaku.
Katanya, KPWKM sedia membantu dan orang ramai boleh menyalurkan aduan melalui Talian Kasih 15999 dan Talian Whatsapp 019-26 15999 yang beroperasi 24 jam.
“Sama-samalah kita untuk terus mengamalkan sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain dan berganding bahu membanteras perbuatan gangguan seksual serta menghapuskan segala bentuk keganasan dan diskriminasi berasaskan gender ini,” katanya. -K! ONLINE