BARU-BARU ini saya terbaca kenyataan seorang pemimpin politik mengenai kelemahan prosedur operasi standard (SOP) di pasar raya.
Beliau menyatakan kebimbangan masih ramai tidak mengamalkan penjarakan sosial semasa berkunjung ke pusat beli-belah.
Bagi saya kebimbangan itu realistik. Sebagai pengguna saya kerap melihat situasi berkenaan semasa mahu membeli barang keperluan.
Bukan sahaja di pasar raya, malah pasar awam, pasar malam, pasar mini dan kebanyakan kedai runcit juga begitu. SOP hanya dipatuhi apabila mahu memasuki premis dan selepas berada dalam premis, seolah-olah bebas tanpa SOP.
Tiada pemantauan rapi oleh pihak pengurusan pasar raya semasa pelanggan berada dalam premis.
Tiada penjarakan sosial semasa pelanggan beramai-ramai memilih barang yang mahu dibeli. Benar ramai juga pelanggan sehabis baik berusaha memenuhi SOP tersebut, maka keadaan itu merimaskan mereka.
Mereka mahu mengamalkan penjarakan satu meter pada setiap masa, tetapi pelanggan lain kelihatan kurang mengambil endah.
Situasi itu menimbulkan persoalan apakah sebilangan rakyat berasa diri kebal virus sehingga tidak khuatir kepada ancaman Covid-19?
Pakar sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran ketika dihubungi Kosmo! mempunyai jawapan kepada persoalan itu.
Kata beliau, keadaan itu berlaku apabila ramai orang patuh SOP hanya kerana bimbang disaman, bukan kerana di atas kesedaran kendiri menjaga nyawa.
“Mereka patuh SOP kerana bimbang ditegur, dimarahi, disaman atau didenda. Apabila berasa tidak dipantau, maka SOP diabaikan.
“Kepekaan segelintir ahli masyarakat tentang kepentingan penjarakan sosial bertujuan mengelak risiko jangkitan wabak masih rendah,” katanya.
Mohammad Shatar berkata, masyarakat perlu difahamkan bahawa jumlah kes positif Covid-19 meningkat berkait rapat dengan kepatuhan terhadap SOP.
Mereka perlu difahamkan SOP bukan hanya bertujuan mendenda atau memenjarakan mereka yang ingkar, tetapi bagi menjaga keselamatan dan kesihatan.
“Persepsi ini yang perlu diperbetulkan. Jika tidak segala SOP diperkenalkan akhirnya hanya cantik di luaran, namun implementasinya gagal,” katanya.
Jelas beliau, jika persepsi itu berjaya ditangani, anggota masyarakat akan menjaga SOP di mana sahaja meskipun dalam keadaan tiada pemantauan.
Apakah kepentingan SOP penjarakan sosial pernah diperjelaskan Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Jinjang Kepong, Dr. Siti Khamsiah Abd. Shukor pada tahun lalu.
Beliau memaklumkan, virus Covid-19 disebarkan melalui titisan cecair atau ‘droplet’ yang terhasil daripada percikan air liur ketika bercakap atau batuk.
“Kalau terlalu dekat dengan pesakit Covid-19, khususnya ketika mereka bercakap atau batuk dan ‘droplet’ itu terkena pada mata atau mulut, itu yang merisikokan untuk dijangkiti,” katanya.
Ironinya, banyak kes dilaporkan seseorang yang dijangkiti Covid-19 tidak mengetahui pun mereka telah dijangkiti wabak itu kerana tiada simptom.
Ini bermaksud potensi kita tidak tahu mereka yang telah dijangkiti virus tersebut berada di sebelah kita semasa membelibelah adalah tinggi. Jadi, sila berhati-hati.