SEMENYIH – Sebuah tapak peleburan besi berkeluasan kira-kira 1.2 hektar di sini disita selepas di kesan beroperasi secara haram dan menyebabkan pencemaran longkang serta parit pada 11 Februari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, kewujudan premis haram di sebuah kawasan terpencil di Mukim Hulu Semenyih itu dikesan selepas berlaku hujan lebat di daerah ini.
“Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima laporan berhubung pencemaran longkang dan parit di Taman Semenyih Permata pada 11 Februari 2021.
“Siasatan LUAS bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mendapati pencemaran akibat efluen daripada premis itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Loy Sian berkata, siasatan mendapati aktiviti peleburan dan pembakaran besi di premis haram itu menghasilkan serbuk karbon berwarna hitam dan dibuang ke dalam dua buah kolam air berhampiran premis itu.
Menurut beliau, air kolam itu kemudian melimpah keluar disebabkan hujan lebat sekali gus mencemarkan longkang berhampiran dan turut berpotensi mencemarkan Sungai Semenyih jika lewat dikesan.
Sehubungan itu, katanya, LUAS mengeluarkan Perintah Perlindungan Air dibawah Seksyen 122 (1) Enakmen LUAS 1999 kepada premis itu.
“Pengendali premis itu boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.
“Premis turut diarahkan menghentikan pelepasan efluen dan menjalankan kerja-kerja pembersihan tapak dengan segera,” katanya.
Tambah beliau, MPKj telah mengambil tindakan membina benteng di lokasi kolam bagi menyekat aliran air tercemar dan menyita premis tersebut. – K! ONLINE