RANTAU PANJANG – Penduduk di sempadan Malaysia-Thailand di sini yang gemar bertukar-tukar barang di Sungai Golok menggunakan botol atau bungkusan plastik yang ditarik menggunakan tali boleh berdepan tindakan.
Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu yang melakukan kegiatan itu.
“Sekiranya anggota PGA melihat kegiatan itu ketika melakukan rondaan, kita akan terus mengambil tindakan.
“Kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang melanggar peraturan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, sebuah video TikTok yang memaparkan penduduk tempatan dan negara jiran itu sedang bertukar-tukar barang tular sejak beberapa hari lalu.
Video berdurasi 25 saat itu menunjukkan dua lelaki sedang menarik bungkusan plastik yang ditarik menggunakan tali.
Mereka dipercayai melakukan perbuatan itu untuk menukar barangan antara satu sama lain selepas kedua-dua negara menutup sempadan negara sejak penularan wabak Covid-19.
Difahamkan, aktiviti yang digelar tukar barang itu merangkumi kiriman wang, ubat-ubat dan surat menyurat.
Mengulas lanjut, Nor Azizan memberitahu, PGA yang melakukan tugasan menerusi Op Benteng Covid-19 sentiasa mengawal ketat sempadan negara bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan. -K! ONLINE