fbpx

Lelaki OKU bangkit selepas ditinggal isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairudin (kiri) melihat tanaman cili fertigasi hasil usaha Shaharuddin bersama rakannya di Kampung Changkat Banjar, Parit baru-baru ini.

PARIT – Meskipun kudratnya tidak sama seperti mana orang lain selepas dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU), namun sedikit pun tidak melunturkan semangat seorang bapa tunggal, Shahruddin Lop Ahmad, 43, untuk membesarkan dua anak dan ibunya.

Shahruddin bersama rakannya, Mohd. Nizam Zulkifli, 37, kini mengusahakan tanaman cili fertigasi di atas tanah seluas 0.07 hektar membabitkan 1,360 polibeg.

Menurut beliau, dia pernah melalui kehidupan yang cukup perit apabila terlantar selama hampir setahun di hospital akibat menghidap penyakit achalasia esofagus pada 2016 selain ditinggalkan isteri sekali gus terpaksa memikul kesemua tanggungjawab untuk mengurus keluarga.

“Saya tidak mahu menoleh ke belakang, fokus saya adalah untuk membesarkan dua anak lelaki yang berusia 11 dan 8 tahun.

“Selepas dibenarkan keluar wad pada 2017 dan bertukar status kepda OKU, saya dan Nizam mengikuti kursus pertanian anjuran Institut Pertanian Titi Gantung, kami bermula dengan tanaman secara batas dan hanya mula menanam melalui teknik fertigasi sejak tahun lepas,” katanya yang ditemui di Kampung Changkat Banjar di sini.

Shaharuddin yang buta sebelah mata berkata, dia sangat bersyukur kerana mendapat soko­ngan banyak pihak khususnya ibu, Fatimah Mohd Rashid, 73, rakan dan doktor pakar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Katanya, pada awal selepas sembuh daripada penyakit, dia terpaksa memakai tiub pada hidung kerana tidak boleh menjamah makanan pejal dan hanya bergantung kepada susu khas.

“Setiap kali rawatan susulan saya perlu menimbang berat badan kerana badan susut de­ngan teruk, yang kelihatan hanya tulang dan rangka.

“Bagai jatuh ditimpa tangga, isteri pula tinggalkan keluarga selepas melihat keadaan saya. Tekanan ketika itu cukup kuat dan hanya Tuhan yang tahu.

“Alhamdulillah, Allah pertemukan saya dengan Nizam dan kami kemudian berpakat melak­sanakan projek tanaman cili hingga ke hari ini,” katanya.

Shaharuddin berkata, dia disah­kan menghidap penyakit achalasia esofagus pada 2016 yang mengakibatkan esofagus­nya gagal berfungsi serta terlantar lebih setahun di wad 2A HRPB.

Katanya, kini kehidupannya semakin bertambah baik dan menghabiskan rutin hariannya dengan mengusahakan tanaman cili fertigasi.

“Tanaman sudah pun mengeluarkan hasil dan kami memetik cili setiap dua hari dengan anggaran 20 kilogram hingga 30 kilogram hasil yang dijual kepada peraih pada harga kira-kira RM7 sekilogram.

“Alhamdulillah setakat ini kutipan hasil cili membuahkan hasil yang cukup baik,” katanya yang turut mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pertanian Negeri Perak.

Katanya, Jabatan Pertanian turut menyumbang sebanyak 500 polibeg benih, manakala selebihnya diusahakan melalui pusingan modal terdahulu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairuddin Abu Hanipah berkata pihaknya akan cuba mendaftarkan Shahruddin de­ngan Persatuan OKU Perak bagi membolehkan dia mendapat bantuan, latihan dan kemahiran yang bersesuaian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI