BANDAR RAYA MEXICO – Susu badan seorang wanita di Mexico berubah warna menjadi kehijauan, dipercayai akibat jangkitan wabak Covid-19, lapor akhbar Daily Star.
Anna Cortez dari bandar Monterrey berkata, dia bukanlah satu-satunya wanita yang mengalami perkara tersebut.
“Ramai ibu yang menyedari susu badan mereka berubah warna dan saya telah bercakap dengan sebilangan mereka.
“Apa dialami mereka adalah jatuh sakit seperti saya. Kemudian susu badan mereka menjadi kehijauan. Begitu juga saya.
“Bagaimanapun, kami terus menyusukan bayi masing-masing,” katanya kepada akhbar Mirror.
Menurut Anna, beberapa pengamal pediatrik memberitahunya bahawa perkara itu normal sekiranya seorang wanita sedang sakit.
Jika bayi mereka pula sakit, susu badan berubah warna selari dengan antibodi dihasilkan.
“Namun, saya perlu terus menyusukan anak kerana ia perkara terbaik untuk bayi. Susu ibu membekalkan semua zat dan keperluan bagi melawan penyakit,” katanya.
Cortez dan anak perempuannya, Mikayla yang berusia empat bulan disahkan positif Covid-19 pada bulan lalu. – Agensi