LUMUT – Salah seekor anjing liar yang dilatih dan dijadikan haiwan pemantau oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di Taman Paya Bakau dekat sini, ditemui mati pagi ini dipercayai dilanggar kenderaan.
MPM dalam satu kenyataan dikeluarkan dalam Facebook hari ini menyatakan Johnny dan Puppy merupakan anjing liar yang telah dilatih untuk menghalau monyet yang cuba keluar dari taman tersebut dan memastikan tidak ada penceroboh yang masuk ke situ.
“Johnny juga menjadi peneman setia pengawal keselamatan dan sangat rapat dengan kakitangan MPM yang bertugas di Taman Paya Bakau ini.
“Lesen anjing telah dipasangkan kepada Johnny dan Puppy tetapi malangnya Johnny dapat berkhidmat sementara sahaja bersama MPM.
“Terima kasih Johnny di atas khidmat dan taat setia yang telah diberikan. Johnny dalam ingatan,” kata kenyataan itu.
Kosmo! pada 4 Februari lalu melaporkan, kehadiran dua ekor anjing, Johnny dan Puppy yang dilatih khusus untuk mengusir monyet liar di situ daripada berkeliaran di lokasi yang dikhususkan untuk pengunjung.
Kedua-dua ekor anjing tersebut dilesenkan di bawah Undang-undang Pelesenan Anjing (MPM) 1993 bagi menjaga taman itu serta melindungi pengunjung daripada gangguan monyet dan haiwan liar lain.
Sebelum itu, kehadiran monyet liar dalam bilangan yang banyak mengganggu pengunjung termasuk merampas makanan dibawa serta mencuri beg tangan.
Johnny yang merupakan anjing jantan dan pasangannya, Puppy, bertindak sebagai pengusir monyet selain mengawasi jika ada haiwan berbisa lain seperti ular kapak, yang ada di taman paya bakau ini, daripada mengganggu orang ramai. – K! ONLINE