PETALING JAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bakal membuka Pusat Tranformasi Gelandangan sebagai usaha untuk membantu golongan tersebut keluar dari keadaan yang mereka alami ketika ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pusat transformasi itu bakal dikenali sebagai Anjung Kelana dan ia dijangka beroperasi pada 1 Mac ini.
“Pembinaan ini adalah susulan daripada Anjung Singgah yang terletak di Jalan Pahang, Kuala Lumpur dimana gelandangan akan ditempatkan di sana dan diberi makan dan minum.
“Manakala Anjung Kelana ini adalah program berkembar dan mengkhususkan untuk gelandangan yang terpilih dan setelah melalui saringan bagi menilai tahap keupayaan mental, fizikal dan produktif untuk diberikan pekerjaan yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar setelah menyampaikan Microgreen Kit kepada 23 orang gelandangan di Pusat Gelandangan Sementera (PGS) dekat Sentul Perdana hari ini.
Dalam majlis sama, Annuar turut melakukan lawatan dan menghulurkan bantuan kepada golongan gelandangan di Projek Urban Farming di Kampung Sri Malaysia Bandar Tun Razak.
Tambah Annuar, sebahagian daripada gelandangan tersebut akan bekerja dalam Program Pertanian Bandar serta kerja-kerja lain yang boleh dilaksanakan di Anjung Kelana tidak lama lagi.
Terdahulu, Annuar pada awal tahun lalu telah mengumumkan satu projek khas yang dirangka untuk gelandangan yang dikenali Anjung kelana di ibu kota dengan tujuan membantu menempatkan dan melatih golongan gelandangan. -K! ONLINE.