PETALING JAYA – Polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun kerana disyaki merogol remaja perempuan berusia 14 tahun yang merupakan anak saudaranya sendiri.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, suspek ditahan selepas polis menerima laporan dibuat oleh mangsa pada 11 Februari lalu.
“Mangsa mendakwa dirogol abang ibunya itu sejak Mac sehingga Disember 2020 di rumah keluarga mereka di Sea Park, Petaling Jaya.
“Menurut mangsa, kejadian rogol secara paksa sering berlaku apabila ibu mangsa tiada di rumah atau ketika adik-beradiknya sedang tidur,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Nik Ezanee berkata, berikutan itu polis menahan suspek di sebuah rumah di Sea Park kira-kira pukul 7.30 petang pada hari sama selepas menerima laporan remaja perempuan tersebut.
Menurut beliau, suspek yang tidak memiliki rekod jenayah lampau ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat dibawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana kelakuan sumbang mahram.
Jelas beliau, jika sabit kesalahan lelaki tersebut boleh dihukum penjaran minimum 10 tahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan.
“Mangsa diberi perlindungan di Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut,” katanya. – K! ONLINE