BACHOK – Mayat seorang lelaki yang sudah reput ditemui oleh seorang penduduk yang sedang berjalan kaki di sekitar di pesisir Pantai Kuala Kandis di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintenden Mohd. Yusrizal Mohd. Ghazali berkata, mayat yang hanya memakai seluar pendek warna gelap ditemui dalam keadaan tertiarap di kawasan itu pada pukul 8.03 pagi.
Menurutnya, polis menerima laporan mengenai penemuan mayat yang terletak jauh dari perkampungan nelayan pada pukul 9.17 pagi.
“Siasatan awal mendapati, mangsa telah meninggal dunia sejak 10 hari lalu dan dipercayai hanyut dibawa ombak sebelum terdampar kira-kira 20 meter dari gigi pantai.
“Identiti dan usia masih belum dapat dikenal pasti kerana keseluruhan badannya sudah reput. Setakat ini, tiada sebarang petanda yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Mohd. Yusrizal berkata, polis juga tidak menemui sebarang dokumen bersama mangsa untuk mengesahkan identiti sama ada warga tempatan atau asing.
Katanya, mayat terbabit dihantar ke unit forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu untuk proses bedah siasat.
Ujarnya, kejadian itu merupakan penemuan mayat ketiga yang ditemui di pesisir pantai di Bachok sejak awal tahun ini. -K! ONLINE