fbpx

Ismail Sabri buat laporan polis video fitnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PETALING – Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat laporan polis hari ini berhubung penyebaran dua rakaman video yang memfitnah dirinya melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 12.30 tengah hari tadi oleh wakil beliau yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kanan (Pertahanan), Azlina Md. Rosdy@Rozzy.

Ismail Sabri dalam satu kenyataan akhbar hari ini berkata, rakaman video pendek yang ditular itu bukan sahaja cuba merosakkan nama baik beliau, tetapi juga cuba menimbulkan keadaan huru-hara antara kaum.

Menurut beliau, rakaman video pendek pertama yang ditular di media sosial itu adalah ketika beliau membuat sidang media harian berkaitan Covid-19 pada 14 April 2020.

“Video tersebut ditularkan kononnya ia sidang media terbaru dan seakan bertujuan mengelirukan rakyat kononnya tiada lagi saman dan kompuan dikenakan sekiranya melanggar SOP, sebaliknya rakyat akan terus dipenjarakan.

“Video tersebut adalah video lama dan kerajaan telah pun melakukan pelbagai penambahbaikkan dalam pelaksaan SOP,” katanya.

Ismail Sabri berkata, rakaman video kedua diberi tajuk “Sendiri buat SOP sendiri langgar” adalah rakaman beliau hadir majlis santai bersama penggiat seni tanah air sempena Kempen Tabung Hari Pahlawan pada 15 September 2020.

Kata beliau, rakaman video tersebut ditularkan kononnya majlis itu adalah sambutan Tahun Baru Cina sedangkan majlis tersebut diadakan ketika dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebelum ini.

“Dalam pelaksanaan PKPP, majlis perkahwinan juga dibenarkan temasuklah majlis-majlis lain. Maka tiada pelanggaran SOP yang berlaku,” katanya.

Justeru, kata beliau, tujuan laporan polis dibuat bagi menghentikan penularan fitnah yang berniat jahat kerana implikasi penyebaran video itu boleh menimbulkan kemarahan rakyat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI