BACHOK – Dua keluarga termasuk seorang ibu tunggal hany tinggal dalam keadaan sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Alor Bakat di sini pagi tadi.
Kejadian itu disedari oleh mangsa, Halimah Mayim, 60, ketika bangun daripada tidur untuk memasak kuih-muih untuk jualan kira-kira pukul 3.30 pagi.
Menurutnya, dia terdengar bunyi letupan kecil beberapa kali dari bahagian lantai dan bumbung rumah sebelum melihat api sedang membakar rumah.
“Saya bergegas mencari suami, Azmi Wahab, 59, yang ketika itu sedang tidur di dalam kereta berhampiran rumah.
“Ketika kejadian, suami saya yang menghidap kanser hati tahap empat tidak dapat tidur sebelum mengambil keputusan untuk keluar dan tidur dalam kereta sementara menunggu waktu subuh,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Halimah berkata, dia tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen dan barang berharga kerana terkejut selepas melihat api marak dengan cepat.
Katanya, dia dan anaknya, Lokman Khalil, 21, bergegas keluar menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam kebakaran.
Seorang lagi mangsa ibu tunggal, Siti Hawa Hamad, 73, ketika ditemui berkata, ketika kejadian dia sedang bersahur sebelum terdengar beberapa kali letupan dari rumah jirannya.
“Saya terus mencapai plastik yang mengandungi dokumen dan wang tunai yang bersangkut pada dinding bilik dan mengejutkan beberapa orang cucu yang sedang tidur untuk menyelamatkan diri.-K! ONLINE